My Mr/Mis V.V.I.P ma Friends Forever

LETs : Exchange Links !!

Tuesday, February 28, 2012

Malam seakan mengerti ....


Malam ini ...
Izinkan aku buka tirai sepi...
Hembusan pawana menghimpit jiwa....
Ada rindu yang tiada noktah....
Ada cinta yang berbisikan....
Indah....
Rasa kadang2 membunuh hati...
Fikiran mula dihakimi oleh nafsu sendiri....
Terbuai dalam impian ...
Terbuai dengan harapan..
Ku tersedar...
Sayup sayup....
Suara kalamMU ...
Menenangkan hati...
Membina kekuatan sejati...
Akal berbicara...
Damaikanlah hatiku...
Malam tetap kan berganti...
Cinta manusia hanya nafsu duniawi....
Dan...
Malam seakan mengerti..
Dan...
Kulayarkan sinar harapan..
Walau impian tak seteguh binaan.pintaku andai tak kesampaian...
Tabahkan hatiku dengan kenyataan...dan bukan kepura puraan...

Notakakidibibirmu...
Usah bercinta jika tak pandai menjaga hati...semua org mampu mencintai tapi tak semua org tahu menghargai...
Mood o_O jiwang...
Sekadar berkarya..

Saturday, February 25, 2012

Amalan Bidaah ? Ya atau tidak



assalamualaikum....
LT keje arini...
semalam ada sesorg buat LT terfikir lantas..
ku ingin cari info tentang Bidaah.....

pendapat yang pertama ...

Hukum Membaca Surah Yasin Pada Malam Jumaat ?




Bagi kita pendokong ulama mazhab, kita tidak ragu lagi bahawa para ulama kita memandang elok akan amalan tersebut. Imam kita as-Sayuthi dalam kitabnya “Khushushiyyaat Yawmil Jumu`ah” menulis:-
Imam al-Baihaqi dalam kitab “asy-Syu`ab” telah mentakhrijkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a., katanya:- Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- “MAN QARA-A LAILATAL JUMU`ATI HAAMIIM AD-DUKHAAN WA YAASIIN ASHBAHA MAGHFURAN LAHU (Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat surah ad-Dukhan dan surah Yaasin, maka berpagi-pagilah dia dalam keadaan terampun)”.
Al-Ashbihani meriwayatkan dengan lafaz:- “MAN QARA-A YAASIIN FI LAILATIL JUMU`ATI GHUFIRA LAHU ( Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam Jumaat, nescaya diampunkan baginya).
Maka teruskanlah beramal dengan membaca surah Yaasiin yang terlalu besar pahala dan fadhilatnya. Jadikanlah ia sebahagian wirid kamu, siang dan malam, atau setidak-tidaknya pada hari atau malam Jumaat. Janganlah kalian termakan dengan dakwaan pihak yang anti-yaasinan dan anti-tahlilan. Peganglah ajaran para ulama kita terdahulu, yang berkat mereka hidayah Islam dapat kita rasai sekarang. Penutup posting aku kali ini biar aku nak nukil wasiat Imam al-Haddad, tapi sebelum tu, kalau aku lambat nak update blog, kome bawak-bawaklah bersabo, bukan apa tugasan aku banyak dan masa hanya ada 24 jam, doakanlah kebaikan yeee.
Syaikh Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar, murid Imam al-Haddad dalam karangannya “Tatsbitul Fuad” yang menghimpun kalam nasihat dan wasiat gurunya itu menyebut bahawa mengenai surah Yaasin, Imam al-Haddad ada berpesan dengan katanya:-
Surah Yaasiin dan kalimah La ilaha illa Allah adalah penawar bagi segala sesuatu. Jika engkau payah untuk menghafal (i.e. membaca) surah tersebut dengan lengkap, maka bacalah sehingga ayat ke-9. Yaasiin adalah hati al-Quran, dan bagi orang beriman surah tersebut amat besar ertinya. Bahkan jika ada orang yang sakit, yang terpelosok, yang dipermalukan, yang jatuh, yang tertimpa musibah atau yang mengharapkan kasih sayang, maka kepadanya selalu dikatakan “Hendaklah engkau membaca Yaasiin untuk mendapat lindungan Ilahi.” Demikian besar dan pentingnya kedudukan Yaasiin bagi orang beriman, dan mereka sesungguhnya amat memuliakannya, bahkan hal ini berterusan sehinggalah sekarang.
Sumber : Bahrusshofa
Jawapan dari Baheis :
Di antara fadilat membaca surah Yasin ialah:
Nabi Muhammad s.a.w menyifatkan surah itu jantung al-Quran.
“Pernyataan Rasulullah s.a.w itu menyebabkan naluri hati kita ghairah membacanya dengan sempurna, secara beramai-ramai di masjid atau di surau.
“Pembacaan ini lazimnya dipimpin seorang imam atau syeikh dan dilakukan pada malam Jumaat,” katanya.
“Inilah sebahagian bentuk amalan yang sudah lama difahami, diamal dan dijadikan tradisi dalam masyarakat Melayu kita di Nusantara.
“Amalan ini banyak mendatangkan kebaikan dan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang sia-sia, maksiat dan dosa.
“Pendek kata, amalan membaca Yasin umpamanya mempunyai khasiat lapan dalam satu, manakala pihak yang mencela golongan mengamalkan bacaan Yasin secara hakikatnya berada jauh dari rahmat Allah.
Surah Yasin satu daripada surah yang dimulakan dengan huruf abjad dan dinamakan dengan demikian kerana ia dimulakan dengan lafaz Yasin, termasuk dalam surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah al-Jin dengan 83 ayat. Ada pendapat mengatakan ia mengandungi 82 ayat.
Amalan membaca surah Yasin mempunyai banyak kelebihan, sebagaimana diterangkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Imam al-A’jiri menyebut satu riwayat dari Ummul Darda, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Mana-mana mayat yang dibacakan padanya surah Yasin, nescaya Allah akan mempermudahkan kematiannya.”
Abu Hurairah meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membacakan surah Yasin pada satu malam bertujuan mencari keredaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam berkenaan.”
Anas bin Malik meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Setiap sesuatu mempunyai hati, hati al-Quran adalah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah akan menulis pahala membaca al-Quran baginya sebanyak 10 kali.”
Imam al-Sya’labi menyebutkan satu riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat nescaya dia akan diampunkan Allah.”
“Terdapat beberapa hadis menunjukkan kelebihan membaca surah tertentu di dalam al-Quran sebagaimana diisyaratkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin,” kata Zamihan.
Dalil umum ini menggalakkan umat Islam membaca mana-mana surah di dalam al-Quran. Ia turut merangkumi surah Yasin memandangkan ia satu surah di dalam al-Quran.
“Perhatikanlah kepada sanad dan matannya secara terperinci. Sekiranya dalil terbabit muncul dengan sanad yang lemah, ia dapat dijadikan hujah kerana masih ada sanad sahih menjelaskan kelebihannya.
“Manakala sanad yang daif tadi jika dihimpun dan dihubungkan dengan kesaksian yang lain nescaya ia akan mencapai taraf hasan sebagaimana diperakui oleh ulama hadis seperti Imam al-Tirmidzi dan selainnya,” katanya.
Surah ini mempunyai banyak intipati yang sepatutnya direnung dan dihayati di samping membacanya, seperti kritikan dan penjelasan sikap kaum musyrikin (ayat 7 -12, 60-68), iaitu menggesa kita mengikis hati dari sifat keji.
Turut diceritakan bukti kewujudan hari berbangkit (ayat 31-54), perbincangan mengenai ilmu, rahmat dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas (ayat 71-83) dan sifat syurga yang disediakan untuk orang beriman (ayat 55-59).
“Selepas kita memahami dan menyedari kedudukan al-Quran, kandungan surah Yasin, tuntutan, galakan dan kelebihannya, kita perlulah membina penghayatan yang mantap dalam diri kita.
“Ternyata kepada kita, amalan membaca surah Yasin bukan sesuatu yang diharamkan ataupun dihukum sesat dalam agama. Bahkan ia satu kelebihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya.

komen penulis : Sudahlah kita ni jenis malas baca Quran, bila nak baca Yaasiin malam Jumaat dah dibid`ahkan.

Sumber : BAHEIS

Baca al-Qur’an di kubur bidaah...?

Apabila berziarah, kita akan berzikir atau membaca tahlil untuk disedekahkan kepada arwah.

Ada juga yang membaca ayat suci al-Quran seperti al-Fatihah, Yasin dan disusuli doa dengan harapan roh si mati mendapat keampunan dan ditempatkan di kalangan golongan aulia dan alim. 


Namun, timbul dakwaan amalan membaca al-Quran di kubur dilarang beralasan Rasulullah s.a.w tidak melakukan perbuatan itu malah tiada dalil mengenainya. Jika dilakukan ia dikira bidaah. 

Justeru, wujud perbezaan pendapat yang mungkin mengelirukan umat Islam mana satu yang betul dan perlu diikuti, sama ada harus membaca al-Quran atau tidak harus membacanya?

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata amalan membaca al-Quran di kubur adalah perkara ranting dalam agama, bukannya perkara tunjang mendasari iman dan Islam.

“Amalan ranting biasanya bersifat elektif bukannya subjek teras untuk seseorang mukmin.

“Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan,” katanya.

Menurutnya, untuk memberikan justifikasi dalam perkara ini boleh dirujuk kepada lembaran suci al-Quran antaranya ayat 21 surah as-Thur, ayat 38 dan 39 surah an-Najm, ayat 261 surah al-Baqarah, ayat 82 surah al-Kahf dan ayat 204 surah al-A'raf.

Katanya, dalil syarak ada ketika bersifat qatie (tetap) dan ada ketika pula bersifat dzanni (membuka ruang kepada ulama untuk berijtihad). 

“Justeru, perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi dalam permasalahan ranting agama. 

“Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan situasi ini. Ini penting supaya kehidupan seharian menepati hukum syarak.

“Ia juga bagi mengelak diri bersikap keras kepala terhadap amalan yang diiktiraf ulama,” katanya.

Beliau berkata, amalan membaca al-Quran di kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai yang ada ketikanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif. 

Katanya, Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu dhuha.”

“Imam al-Qurtubi mengatakan berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa penziarah kubur.

“Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan hadis ini memberi kita satu kefahaman bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.

“Sebenarnya isu klasik ini sudah diselesaikan ulama dengan jayanya. Antaranya Muhammad bin Ahmad al-Muruzi yang berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah Fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

“Dalam kitab al-Azkar bawah tajuk: Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian? Imam an-Nawawi menyebutkan: As-Syafie dan kalangan sahabat (ulama Syafiiyyah) mengatakan: Disunatkan membaca di sisi kubur sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, itu adalah (sesuatu yang) baik. 

“Imam al-Zahabi dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan: Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Quran di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.

“Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za'farani berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi'ie mengenai bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab: Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya'bie katanya: Orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka selalu mengunjungi kubur untuk membaca al-Quran di sisinya.”

Zamihan berkata, himpunan dalil yang ada menjelaskan perbuatan itu sebagai amalan sunat atau aksesori saja.

“Kita perlu memahami permasalahan usul dan furuk (cabang) secara menyeluruh serta dalil dan kaedah syariah yang jelas.

“Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, di samping boleh mengelak diri dari bersikap fanatik dan melampau,” katanya.

Beliau berkata, amalan yang tidak dilakukan Rasulullah s.a.w dan generasi salaf (terdahulu) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata jika masuk kawasan perkuburan lalu menyedekahkan bacaan al-;Fatihah, ada ulama mengatakan sunat.

“Tetapi mazhab Imam Malik mengatakan makruh, namun pengikut mazhab itu yang kemudian mengatakan tidak sedemikian.

“Ulama aliran Syafie ada membuat komentar pada hadis berkaitan pelepah tamar yang dibelah dua oleh nabi, kemudian baginda memacakkannya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian baginda bersabda mudah-mudahan ia dapat meringankan azab mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.

“Daripada hadis di atas ulama terbabit melakukan istinbat (mengambil usul) mayat itu mendapat manfaat daripada bacaan al-Quran, kerana pelepah tamar iaitu hanya tumbuhan dan berkeyakinan ia bertasbih, inikan pula manusia.

“Pasti bacaan ayat suci itu lebih istimewa daripada pelepah tamar berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Ibnu Taimiyah pernah mengatakan sampai pahala bacaan al-Quran apabila ditanya mengenai bacaan al-Quran untuk mayat serta tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. 

“Dalam hal ini yang penting jangan suka menyalahkan orang. Jika hendak buat, kita buat dan jika tidak mahu buat, lebih baik berdiam diri,” katanya.

sumber : halaqah.net 

Bid'ah ke baca Yasin Masuk Rumah Baru?



Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??

Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.

Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.

2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam. Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam


PENDAHULUAN

Permasalah bidaah-membidaah dan sesat-menyesatkan di dalam masyarakat Islam kini amatlah parah dan berbahaya sekali. Masalah seperti ini timbul semula dengan membawakan kembali persoalan-persoalan khilafiyah yang telah sekian lama dibahaskan dan diselesaikan oleh para ulama muktabar terdahulu. Golongan yang sewenang-wenangnya membidaah ini cuba menafsirkan nas-nas dari al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. dengan hawa nafsu sendiri sehingga pelbagai tafsiran yang tidak munasabah diperolehi. Maka kucar-kacirlah masyarakat Islam dengan pembawakan golongan ini yang kononnya berjuang untuk membersihkan perkara-perkara bidaah.

Keadaan menjadi semakin parah apabila isu ini dipandang sebagai isu besar yang perlu diperdebatkan sehingga mereka lupa dan alpa akan isu-isu yang lebih besar untuk kemaslahatan umat Islam sejagat. Ini semua berpunca daripada kesalahan mereka dalam memahami maksud bidaah sesat dalam ertikata yang sebenarnya. Semoga ulasan dan penerangan ringkas ini dapat dijadikan panduan kepada semua di dalam usaha kecil saya untuk memperbetulkan salah faham masyarakat terhadap isu ini.

DALIL YANG DIGUNAKAN

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
…Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang direka itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam neraka.
(Riwayat al-Nasaie).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH

Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:…Baik bidaah ini…
(Riwayat Bukhari).

Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih berimamkan seorang imam sahaja .

Berkata Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta sesuatu yang belum pernah ada dan tidak pernah bermula. Ia tidaklah mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi agama) seperti yang diamalkan selama ini. (Kitab: Al-Istizkar Syarah al-Muwatta).

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ adalah: Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa bukan syarak. Bidaah dari segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarie.

Amalan yang mempunyai sandaran kepada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi syarak meskipun ianya bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam bahasa daripada bidaah dalam syarak. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

Berkata Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi perkara yang dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan sabit dan membuang segala arahan syarak. (Kitab: Ihya Umul al-Din).

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah asalnya ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada sunnah dan dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya tidak bercanggah dengan syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk mengikut syarak maka ianya buruk kecuali termasuk bab harus. Bidaah adalah terbahagi kepada lima hukum. (Kitab: Fathul Bari).

Berkata Imam Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika bersandarkan kepada kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah bidaah dan bukanlah menyesatkan. (Kitab: Maalim al-Sunnah Syarah Sunnan Abi Daud).

Berkata Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah syarie ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bidaah yang dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan sebagainya adalah bidaah dari sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bidaah syarie kerana bidaah syarie adalah satu bahagian daripada bidaah dari sudut bahasa. (Kitab: Ahsanulkalam Fi Mayataallaqu Bil Sunnah Wal Bidaah Minal Ahkam).

PENGERTIAN BIDA'AH

Setelah melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak walaupun ia berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan dengan syarak serta tidak membawa kepada keburukkan maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas yang umum adalah sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie kesemuanya adalah tercela dan bidaah dari sudut makna syarie adalah salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.

Berkata lagi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman Nabi Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai perkara-perkara baru yang tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia adalah perkara yang harus dilakukan selama mana menjadi keperluan. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH

Dari Imam Baihaqi maka berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela.
Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela. (Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berkata Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib, bidaah haram, bidaah sunnah, bidaah harus. (Kitab: al-Qawaid).

Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ berkata:
Hadis ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah. Berkatalah ahli bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya.
Berkata ulama:
Bidaah ada lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang wajib ialah merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak para mulhid (yang tidak percayakan kewujudan tuhan) dan menolak kaum bidaah (mubtadiin) dan seumpamanya. (Kitab: Fi Tahzib al-Asma Wa al-Lughat).

Berkata Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua bahagian iaitu bidaah petunjuk dan bidaah kesesatan. Sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah S.A.W. maka ia adalah perkara yang tercela manakala perkara yang berada di bawah arahan baginda secara umum maka ia adalah terpuji.

Bidaah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan sunnah. (Kitab: al-Nihayah).

MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bidaah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bidaah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bidaah terbahagi kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk membahagikan bidaah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, tahlil dll. Malah mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bidaah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bidaah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.

DI ANTARA BIDAAH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata: Bermazhab ini adalah bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi: Kita amat gembira menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun sebaliknya. (Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).

BIDAAHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bidaah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: ayat 43).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya…
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin…
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bidaah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika amalan-amalan seperti itu adalah bidaah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu ahli bidaah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.
(Riwayat muslim).

PERINGATAN PENTING

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:

Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya. (Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama.

PENUTUP

Setelah meneliti segala hujah di dalam perbincangan ini maka bolehlah kita katakan bahawa janganlah terlalu mudah untuk membidaahkan amalan orang lain sebelum meneliti dahulu kata-kata para ulama. Adapun amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia seperti kenduri tahlil, berzikir ramai secara nyaring dan pelbagai lagi amalan bukanlah tergolong di dalam maksud bidaah yang dimaksudkan oleh al-Hadis. Saya ingin menasihati agar golongan yang begitu mudah membidaah dan mensyirikkan amalan-amalan orang lain ini (walaupun sekadar amalan-amalan seperti tahlil dll) supaya kembali ke pangkal jalan dengan mendalami ilmu agama secara ikhlas. Semoga kita semua berada di bawah lindungan Allah Taala setiap masa dalam menghadapi situasi ini.

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam

sumber : Bloghanz


Istilah bidaah berasal dari kata Arab (bada’a) yang bererti mengadakan atau menciptakan sesuatu yang baru tanpa contoh terlebih dahulu. Para ulama sejak dahulu lagi membincangkan hukum bidaah dalam agama. Asas perbincangan mereka dalam menetapkan hukum bidaah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Jabir yang tertulis dalam dialog tadi. 

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud, 

“ Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kita ini yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak”. 

Asas perselisihan pendapat ialah, adakah perkataan kullu bidaah dalam hadis membawa maksud semua jenis bidaah itu sesat dan tertolak, ataupun memberi maksud sebahagian besar bidaah itu sesat? Perbezaan pendapat inilah yang membentuk dua aliran yang mana aliran pertama menolak 100% amalan yang tidak berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan satu aliran lagi berpendapat maksud kullu bidaah ialah sebahagian besar, bukan keseluruhan ( al-kul bi ma’na majmu’ laisa jami’). Itulah yang menjadi sumber asas pegangan Mazhab Syafie yang membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Sayyi’ah atau Dholalah dan Bidaah Hasanah. 

Merujuk pada tulisan Ustaz Hj. Ahmad Hafiz Al-Bakaniy dalam Majalah Milenia Muslim keluaran April 2008, beliau menyatakan Imam Syafie membahagikan bidaah kepada dua iaitu Bidaah Hasanah (mengadakan sesuatu perkara baru yang terpuji yang tidak bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah) dan Bidaah Dholalah (mengadakan sesuatu perkara baru yang tercela yang bersalahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah). Kata Imam Syafie, 

“Setiap perkara yang ada sandaran daripada syarak, maka bukan dari perkara bidaah, sekalipun tidak dilakukan oleh generasi Salaf”. 

Antara dalil dibolehkan bidaah (Bidaah Hasanah) dalam amalan harian terutamanya ibadah yang saya boleh utarakan sepanjang pemahaman saya terhadap isu bidaah ini ialah : 

1. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, 

“…dan kami jadikan dalam hati orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka yang beribadah) Rabbaniyyah-merekalah yang MENGADAKANNYA rekaannya; padahal KAMI TIDAK MEWAJIBKANNYA kepada mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah…” (QS 57:27). 

Ini menunjukkan bahawa perkara baru yang dilakukan oleh sebahagian umat Nabi Isa (ayat di atas merujuk kepada umat Nabi Isa yang mendirikan rumah daripada tanah liat walaupun mampu untuk hidup mewah) dipuji Allah kerana mereka ingin menjauhkan diri mereka daripada keseronokan duniawi walaupun tidak terdapat dalam kitab Injil yang mengharuskan sedemikian. 

2. Dalam hadis yang dikeluarkan Imam Bukhari di dalam sahihnya daripada Rifa’ah bin Rafi’ Al-Zarqiy : 

“Suatu hari kami bersembahyang di belakang Rasulullah S.A.W dan ketika Rasulullah bangun dari rukuknya, Baginda menyebut ‘Sami’alllahu liman hamidah,’ dan telah berkata salah seorang di belakang Rasulullah S.A.W, ‘ Rabbana walakalhamdu hamdan kathiran thoyyiban mubarakan fih’. Selepas menunaikan solat jemaah tersebut, Rasulullah S.A.W bertanya: ‘Siapa yang membaca lafaz tadi?’ Maka sahabat tadi menjawab: ‘Saya Ya Rasulullah’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Aku telah melihat lebih kurang 30 malaikat berebut untuk mencatat pahala mereka yang menyebut lafaz tersebut”. 

Jelas di dalam firman Allah dan hadis di atas bahawa semua perkara baru yang tidak dilakukan Baginda dan para Nabi terdahulu bukan semuanya haram. 

3. Ulama Usul mendatangkan kaedah: 

Perkara yang ditinggalkan tidak menunjukkan kepada haram”. 

4. Adapun hadis yang menyebut, 

“Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru dan setiap yang bidaah itu adalah dholalah (sesat) dan sesat itu adalah ke neraka”. 

Imam Nawawi menyatakan bahawa makna hadis ini adalah am makhsus (umum yang dikhususkan kepada sesat). Beliau turut menyatakan di dalam kitab Tahdzib Al-Asma’ wal Lughat m/s 22 juz 3: 

“Bidaah pada syarak ialah mengadakan sesuatu yang tiada wujud di zaman Rasulullah S.A.W. Dan ia terbahagi kepada Bidaah Hasanah dan Bidaah Qabihah”. 

Beliau menyambung lagi: 

“Perkara baru yang diadakan dan tiada asas (dalil) dalam syarak dinamakan bidaah. Tetapi, sekiranya ADA ASAS DALAM SYARAK, MAKA IA BUKAN BIDAAH”. 

Kekeliruan sesetengah pihak inilah yang akhirnya membawa perpecahan dalam umat Islam sedangkan Imam 4 Mazhab tidak pula bertekak sesama mereka malah menghormati pandangan masing-masing…Harapnya penerangan ringkas ini dapat merungkai persoalan di atas dan membuka minda kita sebagai persediaan menjadi Muslim era millennium. Wassalam… 

Artikel ini dipetik dari blog: http://bondsoflove90.blogspot.com/2008/05/bidaah-ooiii-bidaah.html, 

Wallahualam..... 

notakakikudibibirmu :

ALLAH telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud:
 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam
LT saje share ape yang LT baca....
terpulang pada masing 2...
dah dapat ilmu apa itu bidaah ^^

Wednesday, February 22, 2012

6 Persoalan dalam kehidupan


6 Persoalan dalam kehidupan




Apakah yang PALING DEKAT dengan diri kita di dunia ?

 

Yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sememangnya janji Allah swt bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

                             (Ali Imran 185)

Apa pula yang PALING JAUH dari kita di dunia ini ?


Yang paling jauh dari kita di dunia ini adalah “MASA LALU”.
Tidak dapat berpatah balik
Teruskan hari yang mendatang dengan lebih baik

Apa yang PALING BESAR di dunia ini ?



paling berat di dunia ini adalah MEMEGANG AMANAH”. Tumbuh-tumbuhanbinatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah swt meminta mereka  untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup dengan permintaan Allah swt,  
sehingga banyak dari ...manusia masuk ke neraka ..
kerana ia tidak dapat memegang amanahnya...

Apa yang PALING RINGAN di dunia ini?
Yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan SOLAT. Gara-gara pekerjaan 
 kita  dan kehidupan dunia, kita meninggalkan solat, gara-gara bermesyuarat dan berseronok-seronok, kita meninggalkan solat....
Apa yang PALING TAJAM di dunia ini?
Yang paling tajam di dunia ini adalah “LIDAH MANUSIA” Kerana melalui lidah
 Manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya
sendiri....


notakakikudibibirmu..
renungan bersama...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...